Assalamualaikum dan salam sejahtera
Terima kasih kepada sesiapa yang membaca blog akuemma. Hari ini tergerak hati saya untuk berkongsi berkaitan rawatan CTScan. Mulai awal tahun 2024, aku telah melalui proses rawatan CTScan ini tetapi ketika itu di dalam waktu antara sedar dengan tidak sedar. Dan aku tidak pasti sejauh mana proses kerja rawatan CTScan ini dan perasaan aku pula, dalam keadaan separuh sedar itu aku tidak pasti sakit ka atau tidak. 😅
Setelah aku dalam keadaan yang sedar dan dalam keadaan yang lebih sihat, semasa menjalani rawatan CTScan, ia adalah satu pengalaman yang perit bagi aku. Ia menyakitkan dari mula jarum di pasang dan proses memasukkan ubat dalam jarum sehinggalah proses untuk memasukkan ubat di bahagian dubur (amat sakit macam semasa sakit hendak melahirkan anak).
Disebabkan untuk memasukkan saliran jarum ke dalam saluran darah agak sukar menyebabkan ianya begitu perit setiap kali jarum dicucuk dan dimasukkan ke dalam kulit aku. Dan berkali-kali jarum itu mengena kepada kulit aku sebab tersilap sasaran kerana tiada darah yang mengalir keluar pada tempat yang dicucuk itu. Kadang-kadang sampai 4 5 kali jarum yang tajam itu menembusi kulit pada tangan dan lengan aku. Sakit sangat!Hanya Allah yang tahu. Aku pejamkan mata tabah dan redho di atas setiap ujian kesakitan yang Allah berikan untuk menghapus segala dosa-dosa aku dan menambahkan keimanan aku kepada Allah.
Apabila doktor memberitahu hendak membuat CTScan, aku sudah rasa gelisah terutama berkaitan keadaan di dalam bilik yang sudah tidak asing bagi aku sejak awal tahun 2024 yang lalu.
Semasa sampai di lokasi untuk CTScan, aku disuruh untuk minum 2 cawan penuh air berwarna merah. Semasa mula-mula aku nampak air berwarna merah ini semasa kali pertama aku nak CTScan dulu selepas aku menjalani pembedahan pada awal tahun 2024, nampak air umpama air sirap itu pun dah terasa sedapnya air ini kerana sudah lama tidak minum dan merasa air sebanyak itu, selama ini aku hanya mendapatkan air dari aliran tiub yang masuk ke dalam mulut aku.
Tetapi lama kelamaan ia sudah jadi biasa, setiap kali hendak minum air ubat berwarna merah itu, aku akan picitkan hidung aku dan terus minum tanpa merasa meloya seperti minum air ubat. Semasa kali pertama aku minum dulu, aku tidak dapat menghabiskan 2 cawan lengkap kerana aku termuntah.
Apabila nama aku dipanggil, hati aku mulai berdebar apabila aku diminta untuk tidur di atas katil penuh dengan mesin seperti separa kon itu. Apabila aku siap berbaring, Pegawai bertugas meminta aku mengiring untuk memasukkan ubat melalui dubur. Aku memejamkan mata aku perlahan dan memohon keampunan dari Allah dengan berzikir. Ya Allah Ampunkanlah segala dosa-dosaku. Terasa membuak-buak pada bahagian itu seperti hendak mengeluarkan najis tetapi aku dinasihatkan agar tidak meneran dan hanya perlu bersahaja untuk membiarkan air itu mengalir laju.
Lengan tangan aku sudah terasa perit dan pedih apabila air ubat mengalir melalui saluran jarum pada saluran darah di dalam badan aku. Aku pejamkan mata dan berzikir. Ya Allah aku bertaubat di atas segala dosa-dosa aku. 🤲
Petugas sudah mulai scan sebanyak beberapa kali dan aku diminta tarik nafas dan lepas. Aku mengikut setiap arahan yang diarahkan dengan menyebut nama Allah. Ya Allah banyak-banyak kali untuk melawan rasa perit dan sakit pada ubat yang mengalir pada lenggan aku.
Manakala dubur aku bergelora bagaikan sakit perut yang memulas. Sangat sakit. Aku pejamkan mata rapat dan terus berzikir. Keluar sahaja dari bilik CTScan, aku terus mencari tandas dan air putih jernih terus keluar dengan lajunya dan membasahi pakaian aku. Aku rasa lega selepas itu.
Selepas proses CTScan, maka aku pula gelisah menunggu keputusan hasil CTScan. Begitulah rutin perasaan aku setiap kali aku menjalani CTScan. Semoga perkongsian di sini sebagai kenangan dan menambahkan ilmu pengetahuan tentang CTScan.