Hati itu milik kita. Kenapa perlu merawat hati orang lain??
Lidah dan mulut
Kita kekadang leka untuk memperbaiki sikap dan tingkahlaku orang lain, sedangkan lidah dan mulut kita terlebih dahulu perlu dirawat dan dikaji sejauh mana ianya berfungsi dengan baik mengikut sunnah Rasullullah dan cara hidup Islam. Perbaiki untuk selama kita hidup setiap ketika dan masa kerana kita lebih mengetahui hati sendiri dari hati orang lain.
Lidah dan mulut sememangnya tidak bertulang. Namun begitu, kedua-duanya jika tidak digunakan dengan sebaik mungkin, ia mewujudkan rasa 'sakit' kepada sesiapa sahaja yang mendengar apabila bicara ditutur dan dilontar. Dan sudah tentu intonasi suara juga memainkan peranan. Adakah kita salah seorang darinya. Renung dan fikirkan kerana kita sendiri yang tahu hati kita sendiri.
Dan sesungguhnya rawatlah hati diri sendiri. Ramai manusia yang baik di dunia ini tetapi kita tidak tahu kerana hati itu terlalu rahsia. Jika anda tidak tahu, tidak perlu mengetahui, cukuplah kita menjadi baik dan merawat hati kita. Sampaikan kepada anak-anak, keluarga, sahabat dan sesiapa sahaja untuk merawat hati masing-masing tanpa perlu menilai baik buruk seseorang tetapi sebaiknya tunjukkan sikap dan tutur bicara yang menyenangkan bukan menyakitkan.
Kita sendiri pun tidak rela disakiti, dihentam, dikecam dan menerima kata-kata yang tajam dari sesiapa sahaja. Jadi perlukah kita mengeluarkan perkara yang sama. Kita tidak akan menjadi baik pun bila menghukum orang lain dengan kata-kata kita, pilihlah untuk menasihati atau menunjukkan sikap yang baik agar menjadi contoh kepada persekitaran.
Masakan tidak, kata-kata yang tajam yang terpacul keluar dari bibir dan lidah kita ibarat menoreh luka kepada hati orang lain. Zaman teknologi sekarang, peranan lidah dan mulut telah diganti dengan tulisan. Maka renungkanlah sejauh mana penulisan kita menyakiti hati orang lain. Jika tidak, alhamdulillah. Kita sendiri yang tahu maksud sesuatu catatan yang ditulis atau di post di aplikasi media sosial kerana semua itu dari hati kita.
Ya, mungkin kita tidak terniat dan sekadar perkongsian, tepuk dada tanya hati kita kerana kita lebih tahu. Dalam diam, sama ada sengaja atau tidak, kita telah menyakiti hati orang lain. Maka, jika hati kita niat baik untuk menasihati dan sebagainya. Itu adalah sesuatu yang hanya hati kita yang tahu. Teruskan jika hati kita berniat baik.
Kadangkala, penulisan dan perkataan berbisa yang ditulis atau yang keluar dari mulut kita sebenarnya sangat sakit bagi yang merasai tempias penulisan dan kata-kata itu. Kenapa perlu menyakitkan hati orang lain jika kita boleh membuat pilihan untuk lebih memahami dan mengerti mengapa dan kenapa? Sebab kita sendiri tidak tahu hati orang lain. Sekiranya, kita perlu marah kerana sesuatu yang betul-betul kesilapan. Namun tetap berhati-hati menggunakan mulut dan lidah. Renungkan dan anda lagi berhak menilai diri sendiri dari menilai hati orang lain. Rawatlah hati.
No comments:
Post a Comment